TERKINI

Penipuan Siber Meningkat, Pejuang Gesa Reformasi Sistem Siber

29 Jan — Pejuang Johor menegaskan bahawa peningkatan mendadak kes penipuan digital dan penggunaan akaun keldai membuktikan bahawa tahap keselamatan siber negara masih membimbangkan, dan reformasi proaktif perlu dilaksanakan segera.

Dalam kenyataan, Zainuddin Adan, Timbalan Ketua Negeri Pejuang Johor, memaklumkan bahawa kerugian akibat penipuan digital pada 2025 mencecah RM2.7 bilion, namun hanya RM11.6 juta atau kurang daripada 0.5 peratus berjaya dipulihkan melalui talian kecemasan NSRC 997.

“Dalam kebanyakan kes, wang mangsa telah dipindahkan ke akaun lain atau ke luar negara sebelum tindakan pembekuan dapat dilakukan,” katanya, menegaskan pendekatan sedia ada bersifat reaktif dan tidak mencukupi.

Pejuang Johor menekankan bahawa Malaysia perlu mencontohi negara-negara yang mencatat kadar penipuan rendah, termasuk Luxembourg, Denmark, Finland dan Singapura, yang menggunakan mekanisme real-time kill switch, perkongsian data akaun keldai antara bank, sistem pemantauan berasaskan AI dan kempen kesedaran awam berterusan.

Selain itu, Zainuddin menyorot kelemahan penguatkuasaan terhadap pemilik akaun keldai. Di banyak negara Eropah dan United Kingdom, individu yang sengaja menyewakan atau membenarkan akaun digunakan untuk jenayah kewangan dianggap bersubahat dan dikenakan hukuman berat. Di Malaysia, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan ramai yang masih menganggap jual atau pinjam akaun bank bukan satu kesalahan serius.

“Keselamatan siber mesti dilihat sebagai hak asas rakyat dan bukan sekadar pilihan dasar. Talian 997 merupakan langkah permulaan yang baik, tetapi negara perlu segera beralih kepada sistem perlindungan yang bersifat pencegahan dan tindakan pantas,” kata Zainuddin.

Pejuang Johor menegaskan bahawa reformasi menyeluruh adalah cara paling berkesan untuk melindungi rakyat, mengurangkan kerugian berbilion ringgit, dan memastikan Malaysia mampu menghadapi ancaman penipuan digital yang semakin kompleks. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp