TERKINI

Penjawat Awam Diwajibkan Pakai Batik Malaysia Setiap Khamis

Gambar hiasan, Batik Malaysia – foto Lazada

PUTRAJAYA, 23 Ogos 2023 – Semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain, digalakkan.

Peraturan itu berkuat kuasa 21 Ogos 2023 dinyatakan dalam surat edaran “Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan” bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Menurut surat edaran itu, ketetapan pemakaian batik itu dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.

“Pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam telah dilaksanakan sejak 1985.

“Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain,” demikian menurut surat edaran itu.

Surat itu yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam, turut diedarkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp