TERKINI

Melayu Berisiko Hilang Negara – Tun Mahathir

Mahathir Mohammad – foto proklamasi orang melayu

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka berisiko kehilangan negara malah bangsa Melayu boleh hilang di dunia jika pentadbiran negara ini bertukar menjadi kerajaan pelbagai kaum.

Dalam satu hantaran di media sosial twitter, semalam, Mahathir berkata belum pernah terjadi pendatang asing yang diberi suaka di sesuatu negara menuntut supaya negara yang memberi kerakyatan kepada mereka ditukar.

“Tidak pernah terjadi pendatang asing atau keturunan mereka yang diberi suaka di sesuatu negara menuntut supaya negara yang memberi kerakyatan kepada mereka ditukar supaya dijadikan negara kaum pendatang, iaitu negara berbilang kaum.

“Itulah maksud Malaysian Malaysia. Negara Melayu hendaklah ditukar menjadi negara berbilang kaum Malaysian Malaysia. Tanah Melayu dihapuskan dan diganti dengan negara berbilang kaum Malaysian Malaysia.

Menurut Mahathir, percubaan ini pernah diperkenal oleh Malayan Union British tetapi ia ditolak. Begitu juga dengan Lee Kuan Yew yang pernah mencadangkan Malaysian Malaysia, juga dengan tujuan yang sama tetapi ditolak dalam PRU 1964.

“Sekarang DAP dengan disokong oleh Parti Keadilan dan Amanah sekali lagi memperkenal matlamat yang sama iaitu Malaysia bukan negara yang asalnya tanah Melayu tetapi Malaysia adalah negara berbilang bangsa.

“Dalam negara berbilang kaum tidak ada taraf yang berlainan antara orang Melayu sebagai indigenous (pemastautin asal) dengan pendatang asing dan keturunan mereka. Dengan ini semua kaum mempunyai taraf sama.

Mahathir berpendapat bahawa sejak sebelum merdeka jentera pentadbiran, polis dan tentera dipimpin dan dipenuhi dengan orang Melayu dan ini semua akan berubah apabila negara berbilang bangsa mentadbir kerajaan.

“Sebagai negara berbilang bangsa pentadbiran kerajaan, polis dan tentera tentulah dipimpin dan dipenuhi dengan berbagai kaum.

“Di masa yang sama bidang ekonomi (perniagaan dan perusahaan) akan kekal sebagai bidang yang orang Melayu tidak mendapat tempat.

Beliau juga menegaskan bahawa Proklamasi Orang Melayu bukanlah berhajat untuk rampas hak dan milik orang lain sebaliknya untuk mendapat keadilan – iaitu pengiktirafan Semenanjung ini sebagai Tanah Melayu.

menerima pendatang dan keturunan mereka sebagai bangsa yang diserap seperti orang keturunan Arab, India, Pakistan, Indonesia dan lain-lain diserap menjadi bangsa Melayu. Menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Pihak Proklamasi Orang Melayu bukanlah berhajat untuk rampas hak dan milik orang lain. Pihak Proklamasi hanya ingin mendapat keadilan – iaitu pengiktirafan Semenanjung ini sebagai Tanah Melayu, menerima pendatang dan keturunan mereka sebagai bangsa yang diserap seperti orang keturunan Arab, India, Pakistan, Indonesia dan lain-lain diserap menjadi bangsa Melayu. Menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Bagi pendatang dan keturunan mereka yang ingin kekal identiti mereka dengan negara asal mereka, layanan terhadap mereka tentulah berbeza dengan layanan terhadap penduduk asal serta mereka yang menerima penuh bahasa dan budaya kebangsaan.

“Perlembagaan Malaysia menyetujui bahawa agama rasmi Malaysia ialah agama Islam. Agama-agama lain boleh dianuti oleh pengikut agama asal mereka.

“Tetapi desakan dibuat supaya Malaysia tidak lagi dikenali sebagai negara Islam. Malaysia hendaklah dijadikan negara sekular iaitu negara yang tidak ada agama rasmi iaitu tidak Islam.

Mahathir menambah bahawa terdapat ramai orang Melayu yang melihat negara berbilang kaum sebagai agihan sama rata antara semua kaum dalam bidang politik sahaja, sebaliknya mereka tidak terfikir berkenaan perubahan-perubahan lain.

“Kita sudah lihat dan boleh teliti apa yang sudah jadi kepada wilayah tanah Melayu yang sekarang dimiliki oleh bukan Melayu.

“Kata Hang Tuah Melayu tak akan hilang di dunia.Tetapi Melayu sudah hilang banyak wilayah. Aliran sekarang menunjuk Melayu tidak akan kekal sebagai satu bangsa. Melayu akan hilang negara mereka dan akan hilang di dunia.

“Lihat dan ambil iktibar. Katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp