GAZA, 4 Nov 2023 – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, terkejut dan kesal dengan serangan tentera Israel ke atas konvoi ambulans di Gaza pada Jumaat, katanya dalam satu kenyataan.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati.
“Orang awam dan infrastruktur awam, termasuk pekerja kemanusiaan dan perubatan mesti dilindungi. Orang awam juga tidak boleh digunakan sebagai perisai,” kata Guterres.
Serangan udara Israel ke atas konvoi ambulans berhampiran Hospital al-Shifa di Semenanjung Gaza mengorbankan 15 orang dan mencederakan 60 yang lain.
Konvoi ambulans sedang membawa pesakit yang cedera parah dari Hospital Al-Shifa ke sempadan Rafah .dengan Mesir apabila ia menjadi sasaran dalam serangan Israel, kata Ashraf al-Qudra, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza.
Israel mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas tersebut dengan alasan ia digunakan oleh Hamas, menurut satu kenyataan dari Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Serangan mengenai ambulans yang dikenal pasti digunakan oleh Hamas. Kami mempunyai maklumat yang menunjukkan kaedah operasi Hamas adalah dengan memindahkan pengganas dan senjata dalam ambulans,” kata kenyataan itu.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata salah sebuah ambulansnya berada dalam konvoi tetapi tiada anggota pasukannya cedera dalam serangan itu. – Awani