TERKINI

Perang Russia-Ukraine : Rusia Tuduh Askar Upahan Mahu Rampas Kuasa

Pengasas Wagner – foto berita harian Singapura

LONDON, 25 Jun 2023 – Kumpulan Wagner, yang diupah Moscow untuk pencerobohan Ukraine, dituduh mahu merampas kuasa dan melakukan pemberontakan bersenjata menentang Russia.

Menurut laporan, pemberontakan ini berpunca apabila kumpulan Wagner mendakwa kepimpinan tentera Russia bertindak membunuh sejumlah besar pejuangnya dalam serangan udara dan berikrar untuk menghukum mereka.

Namun demikian, kumpulan tersebut tiada mengemukakan apa-apa bukti bagi menyokong dakwaannya.

Perincian mengenai serangan yang didakwa masih kurang jelas, namun ia kelihatan seperti krisis domestik terbesar yang pernah dihadapi Presiden Vladimir Putin sejak beliau mengarahkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine bermula Februari tahun lalu.

Sehubungan itu, kawalan keselamatan di semua bangunan kerajaan, kemudahan pengangkutan dan lokasi penting sekitar Moscow diperketatkan, lapor agensi berita TASS, memetik sumber keselamatan.

Dalam perkembangan yang sama, pentadbiran Moscow telah memperkenalkan operasi rejim anti-pengganas, dan wilayahnya termasuk Voronezh bagi mencegah kemungkinan tindakan pengganas, menurut Komiti Nasional Anti-Pengganas (NAC) Russia, semalam.

Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin menerusi hantaran di Telegram berkata bahawa semua acara awam yang dirancang telah dibatalkan susulan operasi itu.

Bagaimanapun, semua perkhidmatan bandar beroperasi sepenuhnya dan lalu lintas tidak terjejas.

Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) berkata, pihaknya membuka kes jenayah terhadap pemimpin Wagner itu kerana mencetuskan pemberontakan bersenjata, suatu jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 20 tahun.

“Kenyataan Prigozhin sebenarnya menggalakkan permulaan konflik sivil bersenjata di wilayah Russia dan tindakannya ibarat ‘menikam dari belakang’ anggota tentera Russia yang memerangi tentera pro-fasis Ukraine.

“Kami menggesa… anggota tentera supaya jangan membuat kesilapan yang tidak boleh diperbaiki, untuk menghentikan sebarang tindakan bersifat paksaan terhadap rakyat Rusia.

“Jangan melaksanakan perintah jenayah dan pengkhianatan Prigozhin, sebaliknya ambil tindakan untuk menahannya,” katanya. – REUTERS / Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp