TERKINI

Perjanjian Air Malaysia-Singapura : Kerajaan diminta sahkan dakwaan Mahathir

Khairuddin Abu Hassan (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 3 Jan 2025 – Kerajaan diminta mengesahkan dakwaan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan secara tidak langsung telah memberi subsidi kepada Singapura menerusi penjualan air ke negera republik tersebut.

Dalam satu kenyataan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sekiranya dakwaan Mahathir itu benar, berapakah nilai sebenar subsidi tersebut.

“Apakah jumlah sebenar keuntungan pada Singapura setelah ditolak kos air mentah yang dijual semula kepada Malaysia?

“Benarkah jumlah “subsidi” yang di dakwa oleh Dr Mahathir? Jika tidak benar apakah jumlah sebenar? Ujar beliau.

Dalam kenyataan yang sama, Khairuddin yang juga Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) berkata, sebelum ini Mahathir juga pernah memberitahu bahawa beliau telah meninggalkan sejumlah peruntukan yang besar untuk membina loji rawatan air Johor sebelum bersara pada tahun 2003, supaya Malaysia tidak lagi perlu bergantung kepada Singapura.

“Apakah yang berlaku kepada projek ini dan kenapakah kita masih tidak lagi mampu setelah sekian lama Merdeka, untuk membekal air terawat bagi keperluan negara, malah terpaksa terus import bekalan air terawat dari Singapura. Katanya.

Menurut beliau lagi, perjanjian air Malaysia-Singapura ini hanya akan tamat pada 206, iaitu berbaki lagi 36 tahun.

“Jika benar apa yang dikatakan Tun Mahathir, bermakna kita akan memberi “subsidi” berjumlah lebih RM118 billion kepada Singapura hingga tempoh tamat perjanjian.

“Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal bagi sebuah negara yang kaya untuk mendapat “subsidi” dari negara yang miskin.

“Saya gesa Kerajaan Malaysia untuk memperjelaskan tentang perkara ini. Tambahnya.

Semalam, Mahathir menerusi entri terbarunya di media sosial, mencadangkan adalah lebih baik Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung penjualan air mentah pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen kepada Singapura.

Menurutnya, menerusi penjualan tersebut Singapura telah memperoleh keuntungan lebih RM3.3 bilion (RM3,312,375,000) setahun.

“Memandangkan Malaysia telah menghentikan rundingan untuk menaikkan harga jualan air mentah, kita sebenarnya sedang memberikan subsidi kepada Singapura dengan jumlah yang dinyatakan itu setiap tahun,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp