TERKINI

Proklamasi Orang Melayu : Bila Melayu Bersatu British Pun Kalah – Tun Mahathir

Foto – Pejabat Marzuki Yahya

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2023 – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata belum pernah ada orang di Malaysia membuat Proklamasi sebaliknya beliau membuat Proklamasi untuk mencari cara untuk memulihkan dan menyelamatkan bangsa.

“Dalam sejarah (Malaysia) tak pernah ada orang yang buat proklamasi, tapi kita buat proklamasi kerana kita nak cari suatu cara untuk memulihkan kita berusaha untuk selamatkan bangsa kita.

Dalam satu ucapan ketika majlis taklimat Peradaban Melayu semalam, Mahathir menceritakan kembali sejarah bagaimana orang Melayu mampu sedar dan bersatu hingga boleh memaksa British akhirnya akur dengan tuntutan orang Melayu.

“Kalau kita lihat daripada sejarah semasa kita melawan Malayan Union, masa itu orang Melayu terbahagi kepada negeri masing-masing, saya adalah rakyat Kedah, rakyat Perak, rakyat Perlis Terengganu. Masing-masing mempunyai raja sendiri, negeri sendiri dan kesetiaan juga kepada negeri, bukan kepada bangsa.

“Sebab itu mudah saja British ambil satu demi satu daripada negeri Melayu.

“Tetapi apabila kita dapati bahawa tujuan British untuk menubuh Malayan Union ialah untuk merampas negeri-negeri Melayu. Satu demi satu raja Melayu terpaksa tandatangan perjanjian, serah negeri mereka kepada British.

“Tapi untuk melawan dengan British, kalau Perlis nak lawan dengan British, saya ingat tak boleh menang, kalau Johor pun tak boleh menang.

Mahathir dalam ucapan yang sama juga berkata, apabila orang Melayu sedar bahawa mereka datang daripada satu bangsa, walaupun negeri berlainan, apabila mereka sedar dan mereka bersatu, tiba-tiba mereka menjadi kuat, berkesan, mampu melawan dengan British.

“Inilah senjata yang ada pada orang Melayu. Hari ini pun, senjata kita satu saja.

“Dimasa kita melawan Malayan Union, kita jauh lebih lemah daripada sekarang, orang kaya tak ada, orang yang terpelajar tak ada, pemimpin tak ada, pengalaman politik pun tak ada waktu itu. Katanya.

“Saya cerita ini kerana saya berada bersama dengan mereka. Bukan saya baca dalam buku sejarah, tidak. Saya sedar tentang kelemahan orang Melayu pada ketika itu.

Menurut negarawan berusia 98 tahun ini, apabila orang Melayu bersatu tanpa mengira parti, mereka tubuh sebuah parti yang mana semuanya menyertai termasuk orang agama menyertai UMNO pada ketika itu.

“Kita mampu paksa raja-raja tarik balik perjanjian mereka (dengan British) dan kita boleh minta supaya raja-raja jangan hadir dalam majlis perasmian perlantikan Sir Gerard Edward James Gent sebagai Gabenor pertama Malayan Union

“..dan raja-raja pun terpaksa ikut dan ahkhirnya British pun terpaksa ikut kerana orang Melayu bersatu dan buat kali pertama mereka telah menunjuk mereka mampu dalam bidang politik. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp