TERKINI

PERKASA: “Apa Erti Merdeka Jika Rakyat Terus Ditindas?”

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) tampil mengkritik keras sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan persoalan besar: apa makna Merdeka jika rakyat masih ditindas oleh pemerintah yang zalim?

Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris, dalam kenyataan medianya berkata kemerdekaan tidak boleh disempitkan kepada laungan slogan atau kibaran Jalur Gemilang semata-mata. Sebaliknya, ia harus diterjemah melalui kebebasan bersuara, peluang ekonomi yang adil, dan sistem keadilan yang benar-benar melindungi rakyat.

“Kerajaan yang zalim tidak berhak mendabik dada atas nama kemerdekaan jika mereka membisukan suara rakyat dengan undang-undang menindas, mengkayakan kelompok tertentu sementara rakyat kebanyakan menderita, serta menggadaikan kedaulatan negara demi kepentingan politik sempit,” tegasnya.

Beliau turut menyentuh isu membabitkan kes Zara Qairina yang menurutnya menjadi simbol kelemahan sistem keadilan negara. “Apakah maknanya Merdeka jika anak kecil pun gagal dilindungi, sedangkan penguasa terus berdiam diri?” soal Irwan.

PERKASA menegaskan, kemerdekaan sejati hanya akan wujud apabila negara ditegakkan di atas asas keadilan, kebebasan, dan keberanian rakyat menolak penindasan.

“Oleh itu, kami menyeru seluruh rakyat untuk bangkit mempertahankan hak dan maruah mereka. Merdeka adalah milik rakyat, bukan milik pemerintah,” katanya, sambil melaungkan seruan tiga kali “Merdeka!”. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp