12 Feb – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan seorang Ahli Parlimen kerajaan untuk memasukkan tokoh komunis serta naratif perjuangan era reformasi politik tertentu ke dalam modul pembelajaran sejarah sekolah menengah.
Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor, dalam satu kenyataan media berkata cadangan tersebut disifatkan sebagai tidak sensitif, berbahaya dan mencabar asas pembinaan negara bangsa.
Menurutnya, komunisme merupakan ideologi yang telah diharamkan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, selain mempunyai sejarah panjang sebagai ancaman keselamatan negara.
“Ribuan anggota keselamatan dan rakyat terkorban akibat ancaman komunis ketika mempertahankan negara dan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Sejarah ini tidak boleh dipadam atau diselewengkan,” katanya.
PERKASA menegaskan bahawa jika sejarah komunisme ingin diajar, ia perlu diletakkan dalam konteks ancaman terhadap negara, bukan diangkat sebagai setaraf dengan pejuang kemerdekaan.
Selain itu, pertubuhan tersebut turut membantah usaha memasukkan naratif perjuangan politik individu yang masih hidup atau berkait langsung dengan kepimpinan semasa ke dalam kurikulum sekolah. Langkah itu disifatkan sebagai penyalahgunaan sistem pendidikan serta cubaan membentuk persepsi politik generasi muda.
PERKASA berpandangan bahawa pelajar sekolah seharusnya diperkukuhkan dengan pemahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu serta sejarah perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara.
Sehubungan itu, PERKASA mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menolak cadangan tersebut secara rasmi dan menghentikan sebarang usaha yang dilihat mempolitikkan sistem pendidikan negara.
“Sejarah Malaysia dibina atas pengorbanan mempertahankan kedaulatan tanah air. Jangan sesekali cuba menulis semula sejarah demi kepentingan politik semasa,” tegas Azrol. – malayadaily