TERKINI

PERKASA Desak Kerajaan Bertindak Terhadap Dong Zong

KUALA LUMPUR, 7 Sept 25 — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan berterusan Dong Zong yang didakwa sering menentang dasar pendidikan kebangsaan serta menggugat semangat perpaduan negara.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, kenyataan dan tindakan organisasi pendidikan itu kerap bercanggah dengan aspirasi pendidikan negara, lebih-lebih lagi selepas pendedahan mengejut dalam satu pertemuan antara wakil Dong Zong dengan Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

“Dalam pertemuan itu, antara isu yang dibangkitkan ialah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Selangor termasuk di UNISEL, permohonan dana tahunan yang konsisten serta kelulusan tanah bagi pembinaan sekolah persendirian Cina,” katanya dalam satu kenyataan.

PERKASA menegaskan, Dong Zong bukan suara mutlak masyarakat Cina, justeru kerajaan negeri Selangor tidak sepatutnya tunduk kepada tekanan mana-mana kumpulan yang didakwa membawa agenda perkauman terselindung.

Sehubungan itu, PERKASA mendesak pihak berkuasa menyiasat secara serius kenyataan dan aktiviti pertubuhan tersebut yang dianggap berpotensi menjejaskan perpaduan nasional.

“Isu pendidikan adalah isu bersama, dan PERKASA menegaskan tiada tempat untuk mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat atas nama hak istimewa sendiri,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp