TERKINI

Perkasa Ingatkan Rakyat Jangan Lupa Pengkhianatan Malayan Union Dan Palestin

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak melupakan sejarah hitam Malayan Union 1946, yang disifatkan mempunyai persamaan dengan pengkhianatan kuasa asing terhadap Palestin menerusi Deklarasi Balfour 1917.

Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris, berkata sejarah penjajahan British terhadap Tanah Melayu harus dijadikan iktibar agar bangsa Melayu tidak lalai dan membiarkan ruang baharu pengkhianatan terhadap agama dan negara berulang dalam bentuk moden.

“Sir Harold MacMichael datang dengan misi menipu dan menekan Raja-Raja Melayu supaya menandatangani penerimaan Malayan Union.

Akibatnya, kuasa Raja-Raja hampir terhapus dan hak Melayu diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengkhianatan kuasa asing terhadap Palestin berlaku dalam konteks yang hampir sama apabila British melalui Deklarasi Balfour menjanjikan tanah milik rakyat Palestin kepada kumpulan Zionis Yahudi pada tahun 1917.

PERKASA menegaskan bahawa dua peristiwa itu menunjukkan pola penjajahan yang sama — campur tangan asing, penafian hak rakyat asal, serta penggunaan undang-undang kolonial bagi menghalalkan penindasan.

“Persamaan Palestin dan Malayan Union jelas — kedua-duanya bermula daripada pengkhianatan kuasa asing yang memaksa rakyat tunduk kepada kehendak mereka. Tetapi seperti bangsa Melayu yang bangkit menggagalkan Malayan Union, rakyat Palestin juga berhak bangkit mempertahankan tanah mereka,” ujar Irwan. -malaydaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp