TERKINI

PERKASA Sokong Seruan Pemuda PAS, Gesa Parti Politik Melayu Bersatu Perjuang Agenda ABATA

KUALA LUMPUR, 1 Jan 2026 — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyatakan sokongan terhadap pendirian terbuka Pemuda PAS yang menyeru penyatuan parti-parti politik Melayu demi memperjuangkan agenda Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA).

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Penerangannya, Azrol Mansur merujuk kepada kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda PAS, Nazrul Nazir, yang menggesa PAS, Bersatu dan UMNO untuk bermuafakat bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu Islam dalam landskap semasa negara.

Menurut PERKASA, pendekatan yang disuarakan oleh Nazrul itu mencerminkan kematangan politik serta kesedaran bahawa perpecahan berterusan dalam kalangan parti-parti Melayu hanya akan menguntungkan pihak lawan, sekali gus merugikan orang Melayu sebagai bangsa majoriti di Malaysia.

“PERKASA menyokong penuh pendirian dan sikap terbuka ini kerana perpecahan politik Melayu pada hari ini jelas melemahkan keupayaan kita mempertahankan kepentingan bersama,” kata beliau.

Sempena kedatangan tahun baharu 2026, PERKASA turut menggesa semua parti politik Melayu supaya berani mengambil langkah penyatuan bagi menghadapi cabaran politik, ekonomi dan sosial yang semakin mencabar.

PERKASA juga mengingatkan pemimpin Melayu hari ini agar mencontohi semangat perpaduan orang Melayu sebelum kemerdekaan, khususnya ketika bangkit bersatu menentang Malayan Union demi mempertahankan maruah bangsa dan mencapai kemerdekaan negara.

“Perpaduan dan penyatuan Melayu yang dilaungkan hari ini tidak seharusnya menjadi slogan kosong, sebaliknya mesti membawa mesej jelas untuk mempertahankan hak dan maruah orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, PERKASA menyeru semua pemimpin parti politik Melayu supaya bermuhasabah, meletakkan kepentingan ABATA mengatasi kepentingan peribadi, serta bersedia mengorbankan ego dan kesombongan demi sebuah penyatuan yang lebih besar.

Mengakhiri kenyataan, PERKASA mengingatkan peribahasa lama yang melambangkan pentingnya perpaduan dan saling menyokong dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Bagai aur dengan tebing, saling menyokong dan saling menguatkan. Seikat bak sirih, serumpun bak serai.” – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp