TERKINI

Sekolah Golongan Miskin Tak Relevan, Banyak Lagi Sekolah Daif Perlu Dibaiki- Masiung

Sekolah daif Sabah Sarawak, gambar hiasan – foto TVS

TONGOD, 15 Ogos 2023 – Langkah mewujudkan sekolah khas untuk pelajar golongan miskin tidak relevan dilaksanakan ketika ini kerana terdapat banyak lagi sekolah dan asrama daif yang perlu dibaik pulih di Sabah dan Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, langkah itu juga dilihat tidak praktikal kerana ia akan mewujudkan sistem kasta yang membezakan latas belakang ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu lebih baik kerajaan menaik taraf sekolah-sekolah daif berbanding menubuhkan sekolah khas yang memerlukan kos lebih tinggi.

“Walaupun tujuan itu baik, namun ia tidak relevan dilaksanakan pada masa kini kerana terdapat ratusan sekolah dan asrama daif khususnya di Sabah dan Sarawak masih menanti untuk dibaik pulih,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat kerajaan memperkenal sekolah khas untuk anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus pendidikan.

Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, pendekatan itu harus dikaji semula kerana ia boleh memberi kesan psikologi yang kurang baik kepada pelajar dan ibu bapa terbabit.

Menurutnya, apa yang penting kerajaan harus memperbanyakkan insentif dan bantuan kepada pelajar kategori miskin dan bantuan itu hendaklah sampai kepada golongan sasar tanpa wujud birokrasi.

“Saya tidak fikir adakah ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah yang bergelar sekolah pelajar termiskin.

“Mereka harus didedahkan dengan pendekatan lebih baik untuk belajar di kalangan rakan sebaya mereka tanpa perlu melabelkan taraf peribadi pelajar terbabit,” katanya.

Tambah beliau lagi, memisahkan taraf dan melabel kalangan pelajar miskin dan golongan berada adalah tidak rasional bagi sebuah kerajaan Madani sedangkan negara kini menuju ke arah sistem pendidikan inklusif.

“Pelajar yang diletakan di sekolah termiskin ini sudah pasti akan merasa rendah diri dan menerima tekanan emosi bila bergaul dengan rakan sebaya mereka yang belajar di sekolah lain.

“Ada banyak cara lain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh membantu pelajar miskin. Antaranya menyediakan bas sekolah khas dan menambah bangunan asrama selain memberi bantuan keperluan sekolah seperti beg dan uniform.

“Polisi dan dasar untuk membantu pelajar miskin perlu dirancang mengikut keperluan sesebuah negeri dan wilayah,” tegasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, sekolah khas untuk golongan miskin itu lebih berkonsepkan kepada jenis sekolah menengah sains dan sekolah menengah berasrama penuh. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp