TERKINI

Perlu buat ujian saringan kepada pelancong China, kata Pakar Perubatan

Gambar hiasan – foto Harian Metro

SHAH ALAM, 1 Dis 2023 – Pakar perubatan berpendapat pelaksanaan ujian saringan COVID-19 dan influenza ke atas pelancong dari China sebelum memasuki Malaysia perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ia susulan terdapat laporan mengenai peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dan radang paru-paru melibatkan kanak-kanak di negara berkenaan.

“Meskipun sekarang ini kita tidak tahu keputusan ujian makmal mengenai penyakit berkaitan pernafasan di China itu tapi lebih baik kita mengambil langkah pencegahan awal dengan membuat ujian saringan terutamanya bagi mereka yang mempunyai simptom.

“Tidak salah untuk kita mengenakan syarat sedemikian kerana keutamaan kerajaan ialah untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan terhadap peningkatan kes COVID-19 dan influenza di negara ini dan syor kepada kerajaan susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India yang memasuki Malaysia bermula Jumaat ini.

Sementara itu, Sharifa Ezat turut mencadangkan supaya rakyat Malaysia khususnya golongan yang berisiko memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam atau kawasan sesak.

Menurutnya, meskipun dijangka tidak berlaku jangkitan COVID-19 yang luar biasa, namun warga emas, kanak-kanak dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik tetap mempunyai risiko tersendiri.

“Kalau berdasarkan laporan, kes COVID-19 yang dicatatkan ketika ini tidak membimbangkan dan hanya melibatkan simptom biasa,” ujarnya.

Katanya, orang ramai juga disaran untuk sentiasa membuat ujian saringan COVID-19 dan influenza secara kerap memandangkan banyak kes dilaporkan berlaku ketika ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini memaklumkan sebanyak 2,305 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu dari 12 hingga 18 November lalu. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp