TERKINI

Perlu pendekatan komprehensif untuk tangani isu simpanan persaraan di Malaysia – Pengerusi SC

Gambar hiasan – foto Rnggt

KUALA LUMPUR, 7 Nov 2023 – Pendekatan yang komprehensif diperlukan untuk menangani aspek struktur dan khusus berhubung isu simpanan persaraan, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Seri Awang Adek Hussin.

Susulan keperluan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah proaktif bagi melindungi masa depan kewangan mereka, perbincangan secara berterusan dan penjelasan lengkap mengenai hala tuju masa depan adalah sangat penting, katanya.

“Jangkaan persaraan bagi golongan muda berubah, begitu juga jangkaan terhadap pengurus yang menguruskan simpanan ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum ‘Improving Long-Term Retirement Planning and Savings Behaviour’ (Memperbaiki Perancangan Persaraan Jangka Panjang dan Tingkah Laku Simpanan), di sini pada Isnin.

Awang juga berkata SC sedang mengembangkan rangka kerja Skim Persaraan Swasta (PRS) untuk membolehkan penyedia semasa dan pengurusan pelaburan digital menawarkan PRS berasaskan algoritma, menggalakkan golongan muda memulakan simpanan persaraan.

“SC memberi keutamaan dalam membina sistem pencen sukarela yang kukuh untuk membolehkan rakyat Malaysia pilihan swasta untuk menambah skim persaraan wajib awam dan menyediakan fleksibiliti simpanan jangka panjang,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp