TERKINI

Permohonan Semakan Kehakiman Najib Ditolak Mahkamah Persekutuan

foto awani

PUTRAJAYA, 31 Mac 2023 – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Susulan itu, keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, adalah kekal.

Ini bermakna bekas Perdana Menteri itu kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Prosiding hari ini didengar lima panel Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Keputusan dibuat dengan majoriti 4-1 iaitu Vernon Ong, Rhodzariah, Nordin dan Abu Bakar menyokong untuk menolak rayuan Najib kerana tidak bermerit.

Vernon Ong ketika membacakan keputusan itu memberitahu, hak bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan.

Sebaliknya, katanya, peguam beliau, Datuk Hisyam Teh Po Teik enggan mengemukakan penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat demikian oleh Tengku Maimun.

Justeru, katanya, Tengku Maimun akhirnya terpaksa menolak rayuan tersebut.

“Sehubungan itu, tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim pada tahun lalu,” katanya di Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini.

Panel hakim membuat keputusan tersebut selepas mendapati permohonan kebenaran semakan itu adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada Ogos 2022 itu.

Turut hadir hari ini, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, diiringi beberapa peguam, yang tiba di Istana Kehakiman kira-kira pukul 8.50 pagi. – sumber AWANI

Facebook
Twitter
WhatsApp