TERKINI

Persaraan : Warga KKM Hargai Jasa Dr Noor Hisham, Panglima Perang COVID-19

KUALA LUMPUR, 20 April 2023 – Ketokohan dan kepimpinan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sehingga digelar panglima perang Kementerian Kesihatan (KKM) terutama ketika berhadapan krisis COVID-19 akan terus menjadi inspirasi kepada semua petugas kesihatan di negara ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di YouTube oleh Program Perubatan KKM bertajuk The Legend has Retired – Retirement of Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah, rata-rata menyifatkan jasa dan pengorbanan Ketua Pengarah Kesihatan KKM itu yang akan bersara wajib Jumaat ini selepas mencurah bakti selama 35 tahun dalam lapangan kesihatan, sebagai sesuatu yang luar biasa.

Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM Dr Mohd Azman Yacob berkata kepimpinan dan dedikasi Dr Noor Hisham dalam meningkatkan martabat sektor kesihatan negara akan sentiasa dijunjung seluruh warga KKM.

“Kami akan teruskan legasi Tan Sri, semua tunjuk ajar Tan Sri pula akan menjadi aspirasi dan inspirasi kepada kami semua untuk terus mara ke hadapan,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkembangan Perubatan KKM Dr Jafanita Jamaludin pula menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai figura yang sangat berkaliber dan memberi sepenuh komitmen dalam tugasannya.

Sementara itu Matron Kartina Mohammad Manan dari Bahagian Kejururawatan KKM berkata Dr Noor Hisham merupakan seorang ketua yang senang untuk dibawa berbincang dan mempunyai pengalaman yang cukup luas.

“Kalau ambil apa-apa keputusan, dia bijak, tak lari daripada landasan yang benar dan sangat memahami apa-apa masalah, malah sebarang keputusan besar yang ingin diambil menjadi mudah dalam masa singkat,” katanya.

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan KKM Dr Hirman Ismail yang juga bekas pegawai khas Dr Noor Hisham pula berkata tokoh bidang perubatan itu sentiasa memberi penekanan kepada reformasi institusi kesihatan.

“Banyak program beliau telah bawa untuk kita ke arah itu antaranya termasuklah mewujudkan sistem Casemix (satu kaedah pengelasan episod rawatan pesakit kepada kumpulan penyakit) selain melakukan kajian bersama Harvard Medical School dan mahu menjadikan hospital sebagai premis mesra ibadah,” katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Asmayani Khalib mewakili seluruh warga perkhidmatan kesihatan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada sumbangan Dr Noor Hisham kepada bidang kesihatan negara.

“Nikmati masa persaraan bersama keluarga, semoga persaraan ini dipenuhi kebahagiaan, ketenangan dan dikurniakan kesihatan berpanjangan, budi Tan Sri tidak akan kami lupa,” katanya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp