KUALA LUMPUR, 13 Apr 24 – Lebih 10 memorandum persefahaman (MoU) dijangka dimeterai dalam pelbagai bidang termasuk industri pintar, kebudayaan dan pendidikan di Pameran Perdagangan dan Kebudayaan Industri Pintar China (CSITE) 2024 yang keempat.
Acara itu yang dianjurkan oleh Persatuan Usahawan China Malaysia (PUCM), dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 21 Mei, 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Lebih 100 syarikat dari Malaysia, China dan Singapura akan mengambil bahagian pada acara berkenaan, kata Presiden PUCM Datuk Keith Li.
“Minat yang kukuh dan bilangan MoU yang akan ditandatangani menunjukkan pengiktirafan yang kuat terhadap CSITE dan kerjasama erat antara perusahaan Malaysia dan China. Kami juga menjangkakan lebih 15,000 pengunjung hadir pada CSITE 2024,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Acara itu yang diadakan serentak dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China turut disokong Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kedutaan China di Malaysia.
“Saya yakin dan positif tentang kerjasama dua hala ini, terutamanya ia berlangsung semasa ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China, dengan badan dan organisasi kerajaan menganjurkan acara untuk meraikan dan meningkatkan hubungan dua hala dari segi ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” kata Li.
China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lepas, mewakili 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Sehingga Februari 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah AS$15.52 bilion (AS$1=RM4.76). – Bernama