PUTRAJAYA, 4 Okt 24 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan komentar oleh sesetengah pihak berlakunya perpecahan di dalam parti, hanyalah persepsi semata-mata.
ketika mengulas isu tersebut kepada malayadaily, Wan Saiful menyifatkan persaingan dalam proses pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ini sebagai suatu yang sihat.
“Kami yang di dalam ini tak ada apa-apa pun. Kami menyertai pemilihan dengan semangat untuk memperkukuh parti. Ada yang bergerak berkumpulan, ada yang yang macam calon bebas. Semua itu biasalah dalam proses demokrasi.
“Saya melihat persaingan yang ada sebagai perkara yang sihat. Allah sendiri pun berfirman bahawa kita wajar berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan. Ini semua sebahagian dari perlumbaan yang sihat itu. Ujarnya.
Tambah Ketua Bahagian BERSATU Bangi ini, yang paling penting ketika ini ialah BERSATU sudah ada rancangan yang jelas untuk memperkukuhkan parti.
“Kita sudah ada succession plan yang jelas untuk penggal ini. Dan pelan penggantian itu akan mula dilaksanakan sebaik sahaja keputusan pemilihan diumumkan. Sebarang persaingan semasa berkempen pun akan tamat. Tegas beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika mengulas isu yang sama berkata persaingan, yang wujud ketika pemilihan ini adalah perkara lumrah.
“Waimah nak pilih pengerusi persatuan atau ketua pasukan sekalipun pasti akan ada pihak yang tak berpuas hati. Lagi-lagi untuk parti berusia 8 tahun ini. Banyak perkara yang perlu ditambah baik. Ujarnya.
Mas Ermieyati yang baru-baru ini mengekalkan jawatan Ketua Bahagian BERSATUS Masjid Tanah juga menegaskan bahawa fokus utama selepas proses pemilihan ini ialah untuk mengukuhkan parti bagi persiapan menghadapi pilihan raya.
“Lepas ini fokus utama adalah penyatuan semula ahli parti, perkukuhkan parti dan juga persiapan jentera hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlaku di 3 negeri. Katanya.
Satu pemilihan kepimpinan telah diadakan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada November 2024. Ini merupakan pemilihan kepimpinan BERSATU kali kedua selepas pemilihan kepimpinan 2020.
Tumpuan pada pemilihan kali ini terarah pada persaingan enam calon merebut tiga jawatan naib presiden.
Antara yang bersaing adalah dua penyandang iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Calon-calon lain bertanding adalah Timbalan Ketua BERSATU Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dan Ketua Bahagian BERSATU Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin. -malayadaily.com