TERKINI

Peniaga dakwa tertindas, sewa premis naik hingga 2,500%

Foto malayadaily.com

PULAU PINANG, 21 Jun 2023 – Lebih 30 peniaga di Astaka Mutiara Selera Tanjung Bungah, Pulau Pinang mendakwa menjadi mangsa operator swasta di premis berkenaan apabila kadar sewaan dinaikkan sehingga 2,500%.

Mereka mendakwa, sewaan premis itu hanya pada kadar RM36 sekitar dua tahun lalu sebelum kompleks itu diubahsuai susulan kebakaran.

Sebaik sahaja siap dibaiki pulih, peniaga ditawarkan premis di kompleks berkenaan pada kadar sewa RM900.

Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang Mohd Sophian Mohd Zain yang mewakili peniaga kompleks itu berkata, sebelum kebakaran pada November, 2020 sewaan dibayar kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPI).

Namun begitu, pengurusan kompleks yang dikenali sebagai Astaka itu diserahkan kepada operator swasta yang dilantik syarikat Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) yang menyaksikan berlakunya kenaikan kadar sewa tersebut.

“Semasa proses ubahsuai astaka majlis perbandaran serahkan surat untuk batalkan lesen, peniaga yang berniaga selama 30 tahun di sini lesennya dibatalkan.

“Kenapa perlu batal,sepatutnya hanya tangguh sahaja dulu, bila tiada lesen sekarang syarikat yang uruskan ini berlaku tawaran baru kepada semua peniaga, kalau tidak bersetuju mungkin mereka akan tawarkan kepada orang lain

“Saya rasa tak semua peniaga akan bersetuju dengan RM900,” katanya, dalam pertemuan, baru-baru ini di Pulau Pinang.

Peniaga yang dikenali sebagai Danial berkata, walaupun premis itu kelihatan baharu dan cantik, peniaga tidak mampu untuk menaikkan harga barangan demi semata-mata untuk membayar sewa yang tinggi.

“Ini cantik betul, tapi kita tak boleh jual mahal kena jual barang murah untuk tarik pelanggan,” katanya.

Rosliani Zakaria, yang juga peniaga di Astaka itu berkata, kadar maksimum yang mampu dibayar peniaga adalah sekitar RM300 dan tidak lebih daripada itu.

“Kami cuma mampu bayar RM300 sahaja, lebih kami tak mampu dan kami juga mahu MBPI yang uruskan tak mahu syarikat swasta,” katanya.

Pada 7 November 2020, Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya para pelancong hampir musnah keseluruhannya dalam kebakaran.

Kompleks itu kemudian dibangunkan semula oleh kerajaan negeri dengan kos RM3.49 juta dan dijangka siap tahun ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp