TERKINI

Pertahankan Dasar Pendidikan dan Bendera, Jangan Diam Bila Garisan Dilanggar – Dr Akmal Saleh

27 Jan — Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menegaskan bahawa mempertahankan dasar pendidikan negara dan kedaulatan bendera negara sepatutnya dihargai, namun ironinya, mereka yang menentang dasar negara atau sengaja membalikkan bendera masih bebas, manakala penyokong negara pula kerap disalah tuduh atau dibawa ke mahkamah.

Akmal dalam kenyataannya, menyindir kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dengan memaparkan tangkap layar berita mengenai gesaan Yu Hui agar pengiktirafan UEC wajar disalurkan melalui mekanisme kemasukan terus ke universiti awam.

“Kita yang mempertahankan dasar pendidikan negara dianggap bermain sentimen perkauman pula,” tegas beliau.

Beliau memberi contoh isu bendera negara yang dibalikkan secara sengaja, namun tiada tindakan diambil terhadap individu terbabit. Sebaliknya, individu yang mempertahankan kedaulatan bendera tersebut pula menghadapi tuduhan di mahkamah.

Situasi ini, menurut Dr Akmal, mencerminkan ketidakadilan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap prinsip dan simbol kebangsaan.

Dalam kenyataan tersebut, beliau juga menyeru rakyat agar tidak bersikap acuh tak acuh terhadap pelanggaran dasar pendidikan dan simbol negara, kerana tindakan atau kealpaan hari ini memberi impak langsung terhadap pembentukan jati diri anak bangsa.

“Kita mesti menegakkan prinsip, menjaga kedaulatan negara dan memastikan dasar pendidikan dijalankan sebagaimana termaktub, tanpa rasa gentar atau bersikap selektif,” katanya. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp