TERKINI

Konflik Palestin : Gabung tenaga, beri tekanan kepada Israel – Cadang bekas Timb Menteri Luar

Marzuki Yahya – foto D8 Org

KUALA LUMPUR, 17 Okt 2023 – Malaysia harus mencari negara-negara sealiran yang menentang kekejaman Israel dan bersimpati dengan Palestin menubuhkan kumpulan bersama bagi memberikan tekanan kepada Zionis untuk menghentikan kekejaman mereka.

Datuk Wira Marzuki Yahya yang juga bekas timbalan menteri luar (2018-2020) berkata, platform itu juga boleh digunakan untuk memberikan bantuan kepada penduduk Palestin.

“Saya sarankan dapat diwujudkan pasukan negara-negara yang sealiran dengan pendirian kecam tindakan Israel supaya bersatu dalam kumpulan ini ambil langkah beri tekanan kepada Israel supaya hentikan tindakan terhadap rakyat Palestin,” katanya, kepada Malayadaily.

Marzuki berkata, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sebelum ini menyaksikan platform itu diwujudkan melalui kerjasama lapan negara dengan berpangkalan di Turki dikenali ‘D8’.

“Mereka berbincang soal ekonomi, pendidikan dan pembangunan, hubungan baik sampai hari ini, platform itu masih beroperasi berpangkalan di Turki,” katanya.

Marzuki berkata, konflik Israel-Palestin ini tidak berkesudahan walaupun sering dibangkitkan dalam mesyuarat agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Setiap tahun dalam mesyuarat agung PBB saya dapati perkara sama dibangkit masalah Palestin-Israel. Tapi tiada satu pun dapat diselesaikan hingga saluran bantuan rakyat Palestin teroka disalurkan melalui badan yang ditubuhkan PBB.

“Saya harap kerajaan dapat ambil satu pendekatan hingga keadaan pulih. Sebagai bekas timbalan menteri luar saya berpandangan perlu ada gabungan negara yang mempunyai naratif sama menentang kekejaman Israel.

“Mereka harus duduk berunding mencari resolusi bagi mewujudkan satu platform baharu, beri tekanan kepada Israel dan salurkan bantuan kepada rakyat di Palestin,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp