TERKINI

Kebocoran Bahan Kimia : Kualiti Udara Di Kawasan Penduduk Normal – JAS

Kebocoran Bahan Kimia Kilang di Pasir Gudang – foto Bernama

JOHOR BAHRU, 25 Ogos 2023 – Pemeriksaan kualiti udara di kawasan sekitar yang berpunca daripada kebocoran bahan kimia sebuah kilang di Pasir Gudang pada Rabu, didapati setakat ini berada pada tahap yang normal.

Menurut Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mohd Famey Yusoff, bacaan tahap kualiti udara itu berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan pemantau JAS.

“Setakat ini, bacaan berdasarkan pemantauan kualiti udara di kawasan berkenaan adalah normal daripada Rabu.

“Malah, bahan kimia yang bocor itu juga tidak dikesan di sekitar kawasan penduduk,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata pemantauan kualiti udara akan diteruskan pada hari ini oleh pasukan pemantau.

Pada petang Rabu, kilang berkenaan yang terletak di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, dikesan mengalami kebocoran bahan kimia jenis “Styrene Monomer”.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Penolong Penguasa Bomba Sarhan Akmal Mohamad dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada pukul 5.21 petang dan menggerakkan sepasukan enam anggota BBP Pasir Gudang dan lapan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Larkin.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia di kilang itu, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Keadaan di lokasi kejadian itu katanya adalah terkawal dan tiada laporan atau aduan diterima daripada orang awam, sama ada mengalami gejala pening dan sebagainya. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp