KUALA LUMPUR, 11 Julai 2023 – Penganut agama selain Islam diberi kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing walaupun Islam sudah termaktub sebagai agama rasmi negara ini kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata, sehubungan itu, mereka tidak seharusnya mempertikaikan amalan penganut agama Islam, kerana ia dilindungi oleh Perlembagaan.
“Kita mesti mempertahankan perlembagaan negara kita, kalau Perlembagaan negara kita kata Islam adalah agama rasmi itu hak kita.
“Kita tak sentuh orang lain. Mereka nak sembahyang cara mereka, dalam Al-Quran di sebut surah Al Kafirun, kepada kamu cara kamu kepada kami cara kami, dia nak sembahyang cara dia, sembahyanglah, kita tak larang,” kata Mahathir.
Beliau berkata demikian dalam satu program Bicara Bangsa di Shah Alam, baru-baru ini.
Negarawan itu menegaskan, sejak sebelum merdeka lagi, Islam sudah sebati dan menjadi anutan orang Melayu di negara ini.
Beliau juga mengharapkan penganut agama lain dapat menghormati amalan Islam seperti mana orang Melayu dan Islam menghormati kepercayaan dan anutan mereka.
“Itu hak kita, daripada sebelum Merdeka pun itu hak kita, tiba-tiba bila kita Merdeka hak kita nak dihapuskan itu tak kena.
“Sekarang ini ada rungutan azan bising, dan patut dikurangkan bising itu. Nak tulis jawi, kita tak larang tulisan Cina, begitu banyak tulisan Cina, hinggakan orang negara Cina berpendapat Malaysia adalah negara Cina kecil kerana di Malaysia terdapat tulisan Cina.
“Kita tak larang dan tak pernah merungut, tetapi bila nak tulis jawi katanya salah,” kata Mahathir.
Katanya, penganut agama Islam yang kebanyakannya adalah orang Melayu mengharapkan keadilan dapat diberikan untuk mereka melaksanakan tuntutan agama dan budaya.
“Kita nak keadilan bukan nak rebut harta orang. Hak kita hak kita, hak dia hak dia. Kita beragama Islam dia tak mahu beragama Islam ok, nak jadi Kristian atau apa sahaja setakat ini bebas.
“Mereka nak sembahyang cara mereka itu hak mereka,” katanya lagi.