TERKINI

Peruntukan Kewangan : Belum Ada Permohonan Rasmi Ahli Parlimen Pembangkang – Fadillah

Wakil PN – foto Awani

KUCHING, 26 April 2023 – Sehingga kini kerajaan masih belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi membincangkan peruntukan kewangan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau mengakui bahawa baru-baru ini Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah mengadakan perjumpaan dengannya, namun ia adalah pertemuan tidak rasmi.

“Saya dah bagi tahu kepada mereka (PN) untuk buat tawaran (permohonan) secara hitam putih, selagi kita (kerajaan MADANI) belum terima surat rasmi bermakna tidak akan berlaku sebarang rundingan.

“Kalau kita ingat, sewaktu kerajaan Keluarga Malaysia ada Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani dan ada rundingan. Jadi yang ini belum berlaku… macam orang meminang, macam mana nak bincang kalau orang tak menawarkan,” katanya dengan nada berseloroh.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Fadillah sebelum ini dilaporkan telah meminta Takiyuddin mengemukakan perincian cadangan secara bertulis, sebelum rundingan mengenainya dimulakan.

Selain itu, beliau juga tidak menetapkan had masa khusus untuk Ketua Whip Pembangkang dan juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengemukakan cadangan berhubung perkara berkenaan.

PN telah melantik tiga wakil yang terdiri daripada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin dan Takiyuddin untuk menyertai rundingan itu. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp