TERKINI

Petisyen Nik Elin : Seorang dari 9 Hakim, persoal di mana kerajaan dalam prosiding ini

Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Sabah dan Sarawak – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 11 Feb 2024 – Satu-satunya hakim yang menentang dalam cabaran perlembagaan dibawa seorang wanita dan anaknya berhubung 18 peruntukan enakmen syariah Kelantan, mempersoalkan di mana kerajaan persekutuan dalam prosiding itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli, berkata kerajaan persekutuan bukan pihak dinyatakan dalam petisyen dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bagi membatalkan beberapa peruntukan dalam enakmen tersebut.

“Tidak jelas apakah pendirian peguam negara berhubung perkara ini,” kata Rahman, yang menambah menjadi kebiasaan peguam negara mewakili pihak kerajaan persekutuan dalam prosiding mahkamah.

“Peguam negara patut menjadi pihak yang memulakan cabaran ini tanpa perlu memohon izin Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Dalam keputusan 8-1 hari ini, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019, atas alasan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan yang dibatalkan termasuk membuat tuntutan palsu; merosakkan tempat ibadat Islam; liwat; hubungan seks dengan mayat dan bukan manusia (bestialiti); gangguan seksual; memiliki, menyimpan atau memberikan maklumat palsu; mengambil bahan memabukkan; berjudi; menurunkan timbangan dan ukuran; melakukan urus niaga bertentangan dengan hukum syarak; melakukan urus niaga riba; penyalahgunaan label “halal”; menjadi bapa ayam; menawarkan perkhidmatan pelacuran; dan perbuatan sumbang mahram.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang menyampaikan keputusan itu berkata, DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan itu dalam sebahagian enakmen kesalahan jenayah syariah kerana ia sudah terdapat dalam undang-undang persekutuan.

Hakim lain bersidang terdiri Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Zabidin Diah dan Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim, Harmindar Singh Dhaliwal, Nordin Hassan serta Abu Bakar Jais.

Tengku Maimun berkata, kes itu bukan bertujuan untuk menggugat agama Islam atau Mahkamah Syariah tetapi semata-mata untuk mempersoalkan sama ada sebuah DUN boleh meluluskan undang-undang tanpa melampaui kuasa diberikan kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Rahman berkata, Nik Elin Zurina dan anaknya tidak mempunyai asas undang-undang untuk memulakan cabaran kerana mereka bukan pihak yang terkesan.

Katanya, mereka gagal menunjukkan bahawa enakmen itu “melanggar” hak perlembagaan mereka.

“Mereka hanya menggunakan alasan bahawa DUN tidak berkuasa untuk meluluskan enakmen tersebut,” katanya.

Menurut Rahman, panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang bersidang pada 2022 tidak sepatutnya membenarkan Nik Elin dan Yasmin meneruskan cabaran kerana mereka hanyalah “penyibuk”.

“Permohonan ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah. Mahkamah tidak mempunyai asas untuk mendengar hujah kes apabila kedua-dua mereka gagal melepasi halangan pertama (peringkat izin),” katanya. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp