TERKINI

Tun M : Kelemahan Melayu pada budaya kerja

Mahathir Mohamad – foto Youtube KS

PUTRAJAYA, 14 Nov 2023 – Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kekecewaanya terhadap kelemahan ‘budaya’ orang Melayu yang dilihat kurang berjaya dalam bidang perniagaan.

Dalam program podcast Keluar Sekejap, beliau berkata, budaya yang dimaksudkan ialah bangsa Melayu tidak menekankan pentingnya untuk berusaha memajukan diri mereka.

“Ini kerana mereka berpendapat sudah cukup dengan apa yang ada.

“Adalah beberapa orang Melayu yang berjaya, tetapi tidaklah menyeluruh walhal kita lihat bangsa-bangsa lain hampir kesemua berjaya sehingga komuniti mereka lebih ke depan daripada orang Melayu. Ujarnya.

Menurut Mahathir, orang Melayu tidak masuk dalam bidang perniagaan dan perusahaan pada mulanya kerana tiada peluang dan tempat.

“Walaupun kita dapati ada beberapa orang Melayu yang telah rebut peluang dan berjaya tetapi bilangan mereka masih sedikit,” katanya.

“Bila kita adakan peluang wujudkan tempat mereka akan berjaya.

“Malangnya apabila saya dewasa, berkuasa dan bekalkan peluang serta adakan kemudahan, Melayu masih tak berjaya. Kenapa Melayu tak berjaya? Sebab budaya mereka.

Dalam siri podcast yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan, Mahathir mengulas mengenai warga asing yang kini mendominasi peluang-pekerjaan di sektor tertentu.

‘Apabila rakyat sendiri tidak sanggup bekerja maka orang (warga asing) datang kerana mereka melihat banyak peluang di Malaysia.

“Migrasi mereka disebabkan oleh kita tak boleh buat kerja-kerja tertentu dan mereka sanggup bekerja walau kerja itu berat ataupun berbahaya.

“Hasilnya hari ini mereka jadi orang berjaya dan umumnya orang Melayu kurang berjaya daripada kaum-kaum yang mendatang,” jelasnya.

Beliau mengambil contoh orang Jepun sanggup buat apa sahaja kerja hingga orang asing tidak datang ke negara itu kerana tiada peluang.

“Bila kita wujudkan peluang tapi tak nak kerja, maka orang asing masuk.

“Akhirnya mereka menuntut untuk diberi hak dan saya khuatir hak mereka makin meningkat, hak kita akan berkurangan serta kita akan hilang negara,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp