TERKINI

Piihan raya PBT : Tindakan DAP ibarat ‘jolok sarang tabuan’ – UMNO Kedah

Gambar hiasan – foto Bebas News

ALOR SETAR, 24 Dis 2023 – Tindakan DAP yang berulang kali membangkitkan isu sensitif dibimbangi boleh meretakkan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, cadangan DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) ibarat ‘menjolok sarang tebuan’ kerana ia tidak disenangi ramai pihak.

Menurutnya, DAP sewajarnya meninggalkan politik perkauman dan agama, selain fokus untuk ke hadapan atas dasar perjanjian dan persefahaman yang sudah dicapai.

“Tindakan DAP ini boleh membawa kepada ketidakstabilan Kerajaan Perpaduan.

“Saya harap pemimpin tertinggi DAP kawal tindakan pemimpin mereka, jangan bawa perkara yang tidak beri kebaikan kepada negara. Mereka juga tidak seharusnya bersikap terlalu ekstrem,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Merbok itu turut memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya jangan sesekali cuba mengapi-apikan kemarahan UMNO dengan mengulangi berkali-kali isu pilihan raya PBT.

“Apa pun rasionalnya, nasihat saya, jangan selalu sangat jolok sarang tebuan, mungkin kali pertama atau kedua, sempat lari terjun sungai, kali ketiga belum tentu.

“Sebelum ini, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bangkitkan isu ‘kaum bukan Melayu boleh dilantik menjadi Perdana Menteri’, sekarang isu pilihan raya PBT pula dijentik lagi. Sudah-sudah lah DAP,” ujarnya.

Shaiful Hazizy menegaskan, UMNO sudah menolak pelaksanaan pilihan raya PBT dan sangat tidak selesa apabila isu tersebut dibangkitkan berulang kali.

“Perjanjian sudah ditandatangani, persefahaman sudah dicapai, DAP sepatutnya ‘move forward’ janganlah pandang ke belakang lagi, elakkan kembali kepada episod politik perkauman dan agama,” jelasnya.

Shaiful Hazizy turut mempersoalkan DAP sama ada mereka selesa sekiranya UMNO memanggil parti itu sebagai anti-Islam, anti-Melayu dan komunis.

“Saya ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin DAP, selesa tak kalau UMNO berulang kali ulangi bahawa DAP anti-Islam, anti-Melayu dan komunis?

“Saya mohon pimpinan besar DAP menahan nafsu untuk Malaysia yang lebih baik. Cukup-cukup lah ‘test market’, ia tidak membawa kebaikan kepada negara.

“Sebaliknya ia hanya akan cetuskan ketidakstabilan kepada kerjasama baharu Kerajaan Perpaduan. Korbankan agenda picisan untuk Malaysia yang lebih baik dan progresif,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp