TERKINI

PPRM gesa GrabFood kembalikan kadar upah asal

Gambar hiasan – foto Utusan Malaysia

SHAH ALAM, 18 Jan 2024 – GrabFood Malaysia (GrabFood) digesa supaya mengembalikan semula kadar upah kepada penunggang dengan bayaran asal.

Gesaan itu dibuat Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) kepada GrabFood iaitu syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing.

Menurut PPRPM dalam kenyataannya hari ini, pihaknya mendapati kadar bayaran upah yang diberikan ketika ini sangat rendah, selain pengiraannya juga tidak jelas.

“PPRPM kecewa dengan GrabFood berikutan keputusan mereka memperkenalkan kadar bayaran upah baharu yang menuruh secara drastik kepada penunggang.

“Penurunan kadar bayaran upah ini antara isu utama yang telah kami suarakan dalam pertemuan dan perbincangan bersama pihak kerajaan, Kementerian dan juga agensi berkaitan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Penunggang GrabFood sebelum ini dilaporkan mendakwa, kadar upah penghantaran kepada mereka diturunkan lagi daripada RM4.30 ke RM3.50.

PPRPM menjelaskan, penurunan kadar bayaran upah itu adalah isu berulang dan menjadi dilema buat penunggang p-hailing.

Malah, katanya, isu bayaran upah itu juga pernah disuarakan terus oleh penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada pertemuan antara beliau bersama penunggang p-hailing iaitu Temu Anwar di Petaling Jaya, Selangor Julai lalu.

“Rentetan daripada keluhan yang disampaikan penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, satu pertemuan dan perbincangan bersama semua syarikat penyelia p-hailing di Malaysia bersama Anwar, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Komunikasi dan Multimedia telah diadakan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

“PPRPM bersama beberapa NGO p-hailing yang lain turut hadir menjadi saksi dalam perbincangan itu, yang mana semua syarikat penyelia termasuk Grabfood bersetuju untuk mengkaji semula kadar penerimaan upah yang diterima penunggang mereka,” tambahnya.

Namun, PPRPM berkata, apa yang amat mengecewakan pihaknya adalah isu penurunan kadar bayaran upah itu masih berlaku kepada penunggang p-hailing.

“Penurunan kadar bayaran upah yang dilakukan oleh syarikat penyelia GrabFood adalah keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang dan merujuk bersama penunggang dan sangat tidak menghormati perbincangan bersama Perdana Menteri.

“Kami juga meminta agar kerajaan mengambil tindakan dan campur tangan dalam isu berkaitan p-hailing,” gesanya.

PPRPM menegaskan, selagi tiada akta khusus diwujudkan kerajaan berkaitan ekonomi Gig p-hailing, ia akan terus berlarutan, melainkan kerajaan boleh merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan meliputi keseluruhan ekosistemnya.

Oleh itu, PPRPM turut menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Badan Kawal Selia Ekonomi Gig demi menjaga kebajikan penggiat ekonomi gig terutamanya penggiat p-hailing.

“PPRPM juga menggesa kerajaan mengambil langkah jangka pendek mengenai isu terkini yang sedang dihadapi penunggang p-hailing terutama berkaitan isu kadar bayaran upah,” ujarnya. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp