TERKINI

Pilihanraya Presiden Turkiye : Erdogan Menang

Recep Tayyip Erdogan – foto Buletin TV3

ANKARA, 29 Mei 2023 – Presiden Recep Tayyip Erdogan menang pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye, sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.

Lembaga Pilihan Raya negara itu mengesahkan dengan 99 peratus undi selesai dikira, kiraan rasmi menunjukkan Erdogan peroleh 52.14 peratus sokongan.

Sementara itu seteru Erdogan, Kemal Kilicdaroglu menerima 48.09 peratus undi secara keseluruhannya.

Kilicdarogu bagaimanapun mendakwa, pilihan raya berlangsung dalam keadaan tidak adil.

Pusingan pengundian pertama pada 14 Mei menyaksikan tiada pihak mendapat 50 peratus undi mutlak.

Erdogan menjadi Perdana Menteri pada 2003 dan menyusul menjadi Presiden pada 2014.

Pilihan raya kali ini disifatkan paling signifikan buat Turkiye.

Pembangkang sebelum ini yakin ada peluang menyingkirkan Erdogan selepas kemerosotan popularitinya, gara-gara krisis kos sara hidup.

Sebaliknya, kemenangan ini akan mengukuhkan lagi imejnya selepas mengubah dasar domestik, ekonomi, keselamatan dan dasar luar.

Ini termasuk meletakkan imejnya sebagai kuasa serantau dengan peranan semakin besar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dari Arab Saudi mengucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan setelah beliau diisytiharkan sebagai pemenang dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Turkiye yang bersejarah.

Portal Arab News melaporkan, pemimpin berusia 69 tahun itu berjaya mengatasi krisis ekonomi terbesar di Turkiye serta tentangan yang kuat daripada pembangkang untuk mengambil alih pentadbiran negara itu.

Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan turut mengirim ucapan tahniah keada Erdogan sebaik pengumuman kemenangan itu dibuat. Pemimpin dunia lain yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan ialah Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi selain Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan Presiden Rusia, Vladimir Putin serta Canselor Jerman, Olaf Scholz. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp