TERKINI

PM tak tolak kemungkinan keputusan pengampunan Najib diketahui hari ini

Najib Razak – foto Kosmo Digital

KUALA LUMPUR, 2 Feb 2024 – Keputusan Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara kemungkinan akan diketahui hari ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini.

“I believe so (saya rasa begitu),” katanya ringkas ketika ditanya wartawan sama ada Lembaga Pengampunan akan mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan itu hari ini.

Ditanya sama ada keputusan itu akan menjejaskan reputasi Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Anwar menjelaskan ia keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan.

“Itu bawah Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan tidak akan mengumumkan keputusan itu, sebaliknya ia bakal dibuat sendiri Lembaga Pengampunan.

“(Itu) urusan Lembaga Pengampunan, tunggu.. sudah ada kepastian (keputusannya).

“Tunggu pengumuman Lembaga Pengampunan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas makan tengahari di Gerai Makan Pertama Complex di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Kabinet pada Rabu ada dimaklumkan sepintas lalu mengenai pengampunan Najib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, semalam memaklumkan Lembaga Pengampunan dijangka membuat pengumuman rasmi berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan selepas disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada 2022 minggu ini.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC), serta tiga pertuduhan setiap satu pelanggaran jenayah kepercayaan dan salah guna kuasa berkenaan dengan RM42 juta dana SRC. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp