TERKINI

PM tinjau situasi banjir di Kelantan hari ini

Banjir di Kelantan – foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Dis 2023 – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual turun padang bagi meninjau situasi banjir di Pantai Timur khususnya di Kelantan, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Perdana Menteri dalam entri terbaru di Facebooknya, semalam, sambil menjelaskan situasi bah di negeri itu kini semakin membimbangkan.

“Insya-Allah esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana. Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” katanya pada Rabu.

Selain tinjauan ke negeri itu, Anwar dijadual mendengar taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri bagi mendapatkan gambaran semasa berkenaan kesiapsiagaan aset serta operasi menyelamat dan bentuk bantuan segera kepada mangsa banjir.

Beberapa kawasan di Pantai Timur terjejas teruk dengan banjir selepas ribuan kediaman penduduk di beberapa daerah khususnya di Kelantan dan Terengganu ditenggelami air sejak beberapa hari lalu.

Laporan dikeluarkan NADMA memaklumkan, jumlah mangsa banjir dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus meningkat kepada 28,310 orang setakat jam 6 pagi tadi, berbanding 25,938 orang petang semalam dengan Johor dan Sabah menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.

Laporan itu memaklumkan Kelantan kekal dengan jumlah mangsa tertinggi sebanyak 17,466 orang yang dipindahkan ke 89 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat daripada 15,145 orang yang ditempatkan di 92 PPS pada jam 4 petang semalam.

Antara daerah terjejas teruk dengan banjir di Kelantan termasuk Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah serta Gua Musang. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp