KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2023 – Pihak polis hari ini merakamkan percakapan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dipercayai berkaitan isu membabitkan bangsa, agama, dan raja atau disebut sebagai 3R.
Peguam Rafique Rashid berkata, anggota polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas hadir sekitar pukul 3 petang di bangunan Yayasan Al-Bukhary di ibu negara.
“Diambang Malaysia menyambut kemerdekaan ke-66, lagi sekali pegawai polis telah berjumpa Tun Mahathir dari pukul 3 petang hingga 3.30 petang.
“Ia adalah untuk merakam percakapan berkaitan penglibatannya dalam program dikenali Sidang Meja Bulat, persidangan Proklamasi Orang Melayu bersama pemimpin parti politik Melayu lain, orang perseorangan dan NGO Melayu,” kata Rafique, dalam satu kenyataan video.
Tambahnya, Mahathir bagaimanapun menegaskan hanya akan menjawab di mahkamah.
“Mana-mana kenyataannya secara bertulis, ucapan, dan sebagainya adalah berdasarkan pengalaman sebagai perdana menteri selama 22 tahun dan 22 bulan dan turut berdasarkan perlembagaan,” kata Rafique.
Tindakan itu juga katanya adalah satu bentuk kekangan daripada kerajaan terhadap Mahathir.
“Ini satu bentuk kekangan daripada kerajaan di mana hak kebebasan bersuara kita disekat, kerajaan perlu keluarkan garis panduan secara penuh berkaitan 3R ini,” kata Rafique.
Turut dirakam keterangan bersama Mahathir Setiausaha Proklamasi Orang Melayu ialah Datuk Wira Marzuki Yahya dan Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. – malayadaily.com