KUALA LUMPUR, 14 Dis 24 – Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menzahirkan kebimbangannya mengenai perkembangan terkini mengenai penangkapan aktivis politik baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Wan Saiful berkata penangkapan blogger Wan Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ dan Wan Shaidi Wan Ibrahim sebagai suatu hal yang membimbangkan.
“Aktivis media sosial ini adalah pengkritik yang gigih terhadap rejim Anwar Ibrahim.
“Satu persatu pengkritik kerajaan terpaksa menghadapi tindakan undang-undang.
“Saya melihat ini sebagai satu lagi bukti bahawa Malaysia kembali ke era gelap di mana kerajaan tidak boleh dikritik. Ujar beliau.
Menurutnya, penangkapan ini adalah untuk menutup mulut pengkritik dan mahu menakut-nakutkan orang lain.
“Anwar Ibrahim sedang membunuh demokrasi di Malaysia.
“Saya menggesa pihak berkuasa segera membebaskan aktivis tersebut. Mereka boleh ditemu bual tanpa ditahan. Tegasnya.
Semalam, Sir Azri atau Papagomo telah ditahan di kediamannya di Putrajaya awal pagi tadi dipercayai berkait kes menipu dan aktiviti pengubahan wang haram.
Manakala itu, Peguam, Rafique Rashid Ali berkata, penahanan Papagomo dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman kira-kira jam 1.30 pagi.
Penahanan tersebut disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes tipu. – malayadaily.com