TERKINI

Presiden PAS sifatkan ‘Kerajaan ibarat burung tiung, burung kakak tua’

Tan Sri Abdul Hadi Awang – foto Jab Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2024 – Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ibarat ‘burung tiung’ yang hanya tahu mengikut sahaja kata-kata ‘tuannya’, tanpa memahami maksudnya.

Bahkan, Ahli Parlimen Marang itu turut melabel pemimpin kerajaan sebagai ‘burung kakak tua’, dan menurutnya, walaupun ‘tua’ tetapi tidak tahu bercakap.

Beliau juga mengkritik orang-orang yang bercakap berkaitan Madani tetapi tidak tahu makna sebenar perkataan itu.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab celahan daripada Datuk Abdul Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya adakah beliau setuju kerajaan sekarang seperti ‘burung tiung’, bercakap tapi tidak tahu apa yang dicakapkan.

Dalam ucapan sama, Presiden Pas itu turut mengingatkan kerajaan berkaitan keadilan ketika memerintah dan ia termasuklah dengan memberikan peruntukan kepada pembangkang.

“Kita kena sedar, termasuklah adil itu kepada ahli Parlimen, negeri-negeri kesemuanya. Bila lepas pilihan raya, tak kira siapa sokong kerajaan atau pembangkang, mesti beri peruntukan.

“Ini makna adil, kerana bila kita kutip cukai, kutip semua, Kastam tak tanya pakaian anak …siapa? kerajaan ke pembangkang?

“Hasil diambil semua, tapi bila diagih, dibeza-bezakan. Ini tak adil. Benda yang terlalu prinsipal, yang jelas, hilangkan perkara tak molek ini barulah kita mewujudkan negara yang dipercayai oleh luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mendakwa kerajaan menguar-uarkan banyak pelabur akan melabur di Malaysia tapi mereka masih tidak datang.

Dakwanya, ia adalah natijah apabila negara tidak diurus tadbir denga baik.

“Negara kita masih diiktiraf sebagai negara yang sedang membangun, tak bangun-bangun. Sepatutnya jadi negara maju, tapi…ini bukan kerana apa.

“(Kerana) Tuhan beri kita ini terlalu banyak hasil, nadir bumilah, hasil pertanian, hasil galian, kemajuan tenaga manusia, tetapi kerana tidak diurus dengan baik, tak memberi apa-apa makna dan faedah.

“Inilah masalah yang kita hadapi, yang kita pikul tanggungjawab ini,” ujarnya. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp