TERKINI

PRK Dun Pelangai: Dua Bekas PM Dijangka Turun Bantu Kempen Calon PN

Muhyiddin Yassin (kiri), Mahathir Mohamad (kanan) – foto Majoriti

BENTONG, 26 Sept 2023 – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bakal dihangatkan lagi apabila dua bekas perdana menteri dijangka akan hadir berkempen bagi calon PN, minggu depan.

Dua tokoh tersebut adalah bekas Pengerusi Parti Pejuang Negara (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka hadir minggu depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika Ceramah Umum PN di Felda Chemomoi pada Ahad.

Beliau berkata, Muhyiddin Yassin dijangka turun padang pada 3 Oktober nanti, manakala Mahathir dijadualkan membuat kemunculan pada malam kemuncak kempen.

“Muhyiddin akan turun pada 3 hari bulan (Oktober) bersama saudara (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali), Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah.

“Dan Radzi Jidin yang berbaloh (bergaduh) baru-baru ini sampai habis kena keluar (Dewan Rakyat),” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau turut dijadualkan turun padang.

“Mereka ini (bekas) pembuat polisi, pernah duduk dalam kerajaan, tahu apa yang mereka buat,” katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Ia menyaksikan persaingan tiga penjuru daripada calon BN, PN dan Bebas.

BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi.

Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samad, 63 diangkat sebagai calon PN.

Manakala, bekas ahli UMNO Kampung Sum-Sum, Haslihelmy DM Zulhasli pula bertanding sebagai calon bebas menggunakan lambang kereta. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp