PUTRAJAYA, 29 Apr 24 – Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menyifatkan perbuatan mencantumkan logo UMNO dan DAP sebagai menghina partinya.
Dalam satu entri di facebook, Akmal meminta kempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu dijalan dengan matang kerana Islam tidak mengajar berkempen dengan cara menghina pihak lawan.
“Berbeza pendapat tiada masalah tetapi jangan sampai menghina orang lain!
“Kita boleh berkempen dengan matang,kerana kalah menang itu Allah yang akan tentukan,tetapi Islam tidak ajar kita dengan berkempen secara menghina pihak lawan.
“Kempen dengan idea dan hujah bukan dengan menghina pihak lawan, tegas beliau.
Sabtu lalu, tular sebuah gambar di media sosial memperlihatkan penyokong PN mengangkat sebuah replika yang mencantum logo UMNO-DAP ketika penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.
PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian dilangsungkan pada 11 Mei depan. – malayadaily.com