TERKINI

PRK KKB: MCA tegas tak akan terlibat kempen

PRK Kuala Kubu Bharu – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 24 Apr 24 – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan pendirian parti untuk tidak terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Dalam satu rakaman video TikTok, Wee mengulas komen Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam podcast Keluar Sekejap pada 5 April lepas, yang mana Loke menyebut MCA “parti tauke” dan tidak mementingkan kepentingan rakyat terutamanya masyarakat Cina.

“Amboi bukan main angkuh lagi ungkapan setiausaha agung DAP ini. Selepas seronok bantai, caci, maki hamun MCA sekarang nak suruh MCA bantu DAP berkempen?

Apa kamu ingat MCA ini tak ada maruah atau tak ada perasaan ke?” katanya dalam satu video tersebut.

Wee juga berkata ahli MCA terguris dengan penghinaan pemimpin DAP.

“Ini soal maruah parti saya.

“Eh masa bercakap kamu tak ingat dunia, hentam MCA tak tentu arah dengan pelbagai tuduhan liar, siap maki hamun dengan penuh kebencian. Sekarang mahu MCA berjiwa besar?” katanya.

“Masa diperlukan pijak semut tak mati, bila tak diperlukan diperlaku, diludah, dikahak sesuka hati. Sudahlah.”

Wee turut mengingatkan rakan-rakannya dalam BN bahawa MCA menjadi sasaran DAP selama ini.

“Jangan lupa selama ini, parti itu hanya bertanding di kawasan-kawasan yang ditandingi MCA atas tiket BN.

“Adakah saudara masih ingat parti itu tidak berapa lama yang lalu menuduh MCA bersekongkol dengan ‘penyamun’, malah MCA pernah dianggap pengkhianat masyarakat Cina kerana tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama dan gagal memansuhkan sistem kuota Bumiputera.”

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong dari DAP, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi jatuh pada 11 Mei, dengan 27 April sebagai hari penamaan calon. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp