TERKINI

PRK KKB: Ramalan Tun M mesej agar Melayu bersatu – Ibrahim Ali

Ibrahim Ali – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 29 Apr 24 – Presiden Putra, Dato Paduka Dr Ibrahim Ali mentafsir pandangan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meramalkan parti DAP akan memenangi Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu sebagai satu mesej kepada orang Melayu untuk bersatu.

Dalam satu kenyataan, Ibrahim Ali berkata undi Melayu akan berpecah kerana UMNO berperanan untuk menarik undi penyokong mereka kepada DAP dan pada masa yang sama, pengundi Cina akan teguh bersama DAP.

“Ini pandangan terus terang sebab undi kaum Cina teguh bersatu bersama DAP. Dan ada Melayu sokong DAP atas peranan Parti UMNO.

“Apa pun kenyataan Tun M iaitu DAP menang di PRK KKB, boleh juga ditafsirkan sebagai mesej, kalau mahu calun Melayu menang, kenalah Melayu bersatu macam kaum Cina bersatu.

“Inilah mesej sebenarnya Tun M, ujar Ibrahim Ali.

Terdahulu, laporan media menyatakan bahawa Mahathir meramalkan DAP akan menang PRK Kuala Kubu Bharu, kerana undi pengundi Melayu berpecah.

Mahathir berkata kemunculan parti-parti serpihan Melayu telah memecahkan undi pengundi Melayu.

“Jumlah pengundi di situ lebih ramai Melayu daripada Cina tetapi Melayu berpecah. Cina bersatu. Jadi kemungkinan ialah DAP menang,” katanya memetik laporan FMT.

PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, manakala hari pengundian dilangsungkan pada 11 Mei depan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp