TERKINI

Sultan Kelantan Perkenan Dun Kelantan Dibubar 22 Jun Ini

Sultan Muhammad V – Foto harakahdaily

KOTA BHARU, 14 Jun 2023 – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memaklumkan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah memperkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubarkan pada 22 Jun ini.

Ia bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 akan datang.

“Hari ini saya membuat pengisytiharan pembubaran DUN Kelantan bagi penggal ke-14 selepas saya menghadap Sultan Kelantan bagi memohon perkenan pembubaran DUN mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa Sultan boleh membubarkan DUN.

“Justeru, Sultan Kelantan perkenan untuk membubarkan DUN pada 22 Jun ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri melibatkan Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN.

Media sebelum ini melaporkan pemimpin keenam-enam negeri mencapai kata sepakat bahawa masa paling sesuai untuk berbuat demikian adalah dalam tempoh dua minggu terakhir Jun bagi membolehkan PRN diadakan serentak.

Sehingga kini, Pulau Pinang bercadang membubarkan DUN pada 28 Jun, manakala Negeri Sembilan pula dijangka 30 Jun ini. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp