TERKINI

PRN 2023 : Azam Baki Tidak Layak Tadbir SPRM – Khairuddin Abu Hassan

Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 30 Julai 2023 – Kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bahawa tiada unsur rasuah berkaitan dakwaan ‘sogokan’ oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu, disifatkan sebagai terlalu terburu-buru.

Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata SPRM sepatutnya mengkaji dan menyiasat dulu secara komprehensif mengenai kenyataan Zahid Hamidi tersebut.

“Ini masalah dengan TS Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepatutnya kaji dan siasat dulu secara komprehensif mengenai kenyataan Zahid Hamidi.

“Azam Baki jangan terlalu terburu-buru seolah nampak SPRM cuba ‘cover’ pemimpin-pemimpin kerajaan.

“Bagi saya Azam Baki tidak layak lagi untuk mentadbir SPRM kerana kredibiliti beliau sudah banyak kali tercalar.

“SPRM sepatutnya kena bertindak secara professional dan berani menyiasat secara ‘without fear and favour’ (tanpa rasa takut dan pilih kasih) demi kebenaran. Ujarnya kepada malayadaily.com.

Menurut Khairuddin, orang ramai tidak menafikan apa saja bentuk geran inisiatif oleh kerajaan bukan berbentuk rasuah namun sekiranya sekiranya geran inisiatif ini dikaitkan dengan PRN dan bakal ditambahkan jumlah sekiranya anak muda mengundi kerajaan serta menjaminkan kemenangan maka tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai unsur rasuah

“Kita tidak menafikan apa saja bentuk geran inisiatif oleh kerajaan bukan berbentuk rasuah.

“Tetapi sekiranya geran inisiatif ini dikaitkan dengan PRN dan bakal ditambahkan jumlah sekiranya anak muda mengundi kerajaan serta menjaminkan kemenangan maka tindakan ini boleh ditafsirkan sebagai unsur rasuah.

Khairuddin juga membangkitkan bahawa sebelum ini dalam kes 1MDB, Azam Baki pernah berkata bahawa duit yang diterima oleh Najib Tun Razak datang dari sumbangan Kerabat DiRaja Arab Saudi, namun selepas itu didapati tidak benar sama sekali.

Jumaat lalu, dalam satu ceramah Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU), Zahid Hamidi bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Ketengah bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di Terengganu.

Dalam ucapan yang sama, beliau ada menyebut untuk memberikan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada seluruh (persatuan) motosikal di Terengganu asalkan pada 12 Ogos nanti mereka (belia) mengikut gelombang biru dan merah yang ada di Terengganu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp