TERKINI

PRN 2023 : Kajian Dapati Pola Undi Tak Jauh Beza PRU15

Gambar hiasan – foto Utusan Malaysia

SHAH ALAM, 6 Ogos 2023 – Kaji selidik yang dijalankan Institut Penyelidikan Endeavour-MGC (EMGC) mendapati trend pilihan pengundi pada Pilihan Raya Negeri di Selangor mungkin tidak jauh berbeza dengan corak pengundian semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Ini kerana firma tersebut mendapati sebanyak 62 peratus responden kerusi marginal (majoriti tipis) semua kaum dan 52 peratus pengundi kerusi marginal Melayu sahaja di negeri itu mengakui akan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Jumlah peratusan itu adalah sama ketika ditanya kepada 1,068 responden terbabit mengenai parti yang telah mereka pilih pada PRU15.

Dalam kajian yang dijalankan pada Julai lalu itu, sebanyak 22 peratus pengundi semua kaum dan 31 peratus pengundi Melayu pula mengatakan akan mengundi Perikatan Nasional (PN).

Ia menyaksikan blok PN mendapat kenaikan satu peratus sokongan undi baik daripada responden kerusi marginal semua kaum atau Melayu sahaja berbanding PRU15.

Trend sama turut berlaku kepada Barisan Nasional (BN) apabila sebanyak 11 peratus responden kerusi marginal semua kaum dan 10 peratus responden di kerusi marginal Melayu menyatakan akan memilih parti itu.

Ia merupakan kenaikan satu peratus pengundian daripada pelbagai kaum tetapi jatuh satu peratus untuk undi Melayu sahaja kepada BN pada PRU15.

Kaji selidik menunjukkan pola pengundian bagi PH, PN dan BN tidak mengalami perubahan ketara selepas PRU15. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp