TERKINI

PRN 2023 : PAS Tukar MB Dan Timbalan Jika Menang Kelantan

Ahmad Yakob (Kanan), Mohd Amar Nik Abdullah (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2023 – PAS menawarkan untuk menukar barisan kepimpinan Menteri Besar dan timbalannya sekiranya gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai parti Islam itu kekal menerajui Kelantan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung esok.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata, penyandang jawatan itu bagi negeri Kedah dan Terengganu yang ditadbir mereka akan dikekalkan.

“Bagi gabungan jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan yang akan ditawarkan selepas PRN nanti, tidak dinamakan.

“Ia bagi menghormati mandat rakyat dan juga menghormati kuasa mutlak Sultan Kelantan dalam hal pelantikan Menteri Besar Kelantan dan Timbalan Menteri Besar Kelantan,” katanya dalam kenyataan video yang disiarkan di laman Facebook rasmi PAS, hari ini.

Takiyuddin berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 10 Ogos 2023 di Rusila, Terengganu, yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tambahnya, PAS menawarkan gabungan kepimpinan Kelantan dalam kalangan agamawan dan tokoh teknokrat naming ia tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.

Kelantan sebelum PRN ini diterajui Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar manakala Datuk Mohd Amar Nik Abdullah merupakanTimbalan Menteri Besar Kelantan, yang mana kedua-duanya merupakan kumpulan agamawan.

Manakala pentadbiran Terengganu diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar manakala Kedah dipimpin Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas kenyataan Mohd Amar, yang mengatakan isu air dihadapi rakyat Kelantan di kawasan kampung bukan satu masalah besar untuk membolehkan PAS terus menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu.

Katanya, penduduk kampung ada cara penyelesaian sendiri dan mempunyai pilihan untuk mendapatkan bekalan air daripada telaga tiub atau menggali perigi.

“Kita juga menjelaskan dengan cara yang baik apa masalahnya. Macam isu air kita cerita (masyarakat), jadi setakat ini berdasarkan pengalaman kita sendiri berjumpa orang ramai, mereka boleh faham.

“Tetapi yang jadi kecoh sebab ini politik dan yang sensasi politik. Benda kecil pun jadi besar. Itu masalahnya.

“Orang kampung sendiri dia faham dan kadang-kadang kes itu (air) dia selesai sendiri. Contoh kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub, gali perigi.

“Dia (masyarakat) cari penyelesaian sendiri. Sebab itu bagi di kampung ini bukan perkara besar, bukan isu yang besar (masalah air),” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp