TERKINI

MRSM untuk pendidikan berkualiti, bukan untuk anak T20 belajar hidup susah, kata perunding

Gambar hiasan – youtube

PETALING JAYA, 24 Jan 2023 – Pelajar daripada keluarga berpendapatan tinggi atau T20 seharusnya tidak dibenarkan memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekiranya untuk mengajar mereka mengenai “kesukaran hidup”, kata seorang perunding dasar awam.

Wan Agyl Wan Hassan berkata keutamaan institusi itu sepatutnya menyediakan pendidikan berkualiti untuk pelajar Bumiputera yang kurang bernasib baik untuk memberi mereka peluang membina kehidupan yang lebih baik.

“Membenarkan pelajar T20 memasuki MRSM bukan sahaja merampas peluang pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah tetapi turut bertentangan dengan tujuan asas penubuhan institusi itu untuk menggalakkan kesaksamaan pendidikan,” katanya kepada FMT.

Wan Agyl mengulas kenyataan Presiden Anak Sains Mara Malaysia Fadzli Yusof bahawa ibu bapa T20 sanggup menghantar anak mereka ke MRSM bagi mengajar mereka hidup susah.

“MRSM kononnya menjadi tempat terbaik untuk anak mereka berkawan dengan golongan B40,” kata Fadzli dalam program wacana Sinar Harian pada 2 Jan lalu.

Wan Agyl berkata keluarga T20 berminat untuk menghantar anak mereka ke MRSM kerana martabat dan standard pendidikan yang tinggi di institusi itu.

“Penyampaian silibus pengajaran, infrastruktur dan model MRSM itu sendiri yang sangat menarik kepada ramai orang.

“Sekiranya mereka (T20) mahu memasuki institusi itu, kerajaan seharusnya meniru kualiti pendidikan dan infrastruktur MRSM di sekolah lain juga,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris berpendapat tiada masalah pelajar dari keluarga T20 memasuki MRSM dan berkata, kanak-kanak Bumiputera dari semua kumpulan patut diberi peluang selaras dengan dasar kuota Mara.

“Sudah ada kuota spesifik untuk kumpulan B40 dan M40, jadi tiada masalah untuk kanak-kanak dari kumpulan T20 untuk belajar di MRSM.

“Semua anak-anak kita ada hak untuk belajar di sekolah terbaik dan harus faham bahawa MRSM tidak mengenepikan hak orang lain,” katanya.

Walaupun tiada dasar yang menyatakan hanya pelajar dari golongan kurang bernasib baik boleh memasuki MRSM, keutamaan Mara adalah kepada pelajar dari golongan berpendapatan rendah.

Dasar Mara ketika ini memperuntukan 60% kemasukan ke MRSM untuk pelajar B40, dengan baki dibuka kepada kumpulan M40 dan T20 yang lulus ujian kemasukan.

Pada Mac tahun lalu, Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki menyokong cadangan mengwujudkan kolej MRSM di mana pelajar M40 dan T20 boleh masuk secara percuma. Katanya, alumni MRSM yang sudah berjaya mahu anak-anak mereka belajar di kolej seperti itu.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi pula berkata pembinaan kolej MRSM yang dicadangkan untuk pelajar kaya itu tidak membabitkan dana awam dan tanah Mara, yang diperuntukkan untuk golongan miskin. – FMT

Facebook
Twitter
WhatsApp