TERKINI

PRN 2023: SPR Ingatkan Bakal Calon Buat Semakan Awal

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2023 – Bakal calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu disaran mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan sebelum hari penamaan calon.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata langkah itu bagi melancarkan proses penamaan calon PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta PRK Kuala Terengganu yang ditetapkan pada Sabtu ini (29 Julai).

Selain itu, bakal-bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan sebagai bukti pembayaran.

“Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan untuk mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon,” katanya.

Beliau berkata kertas penamaan boleh diserahkan dari 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

Pada hari penamaan itu, setiap bakal calon hanya boleh diiringi seorang pencadang dan penyokong untuk masuk ke PPC.

Selain itu, pengunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi pengunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada hari berkenaan dan ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.

“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang / simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan / komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya,” katanya.

SPR menasihati bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan dengan baik dan lancar.

SPR menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp