TERKINI

PRN 2023: Tokoh Utama PH-BN Kedah Kecundang

Mahdzir Khalid (kanan), Mahfuz Omar (kiri) – foto Utusan Malaysia

ALOR SETAR, 13 Ogos 2023 – Nama-nama besar pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah kecundang di kerusi ditandingi, biarpun sebahagian daripada mereka merupakan calon heavyweight.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang membuat kemunculan semula bertanding di kerusi DUN Pedu tewas kepada penyandang kerusi berkenaan, Mohd Radzi Mat Amin dengan majoriti 6,373 undi.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang kali kedua bertembung dengan pencabarnya, Radzi Mat Din turut tewas di DUN Alor Mengkudu dengan majoriti agak besar, iaitu 10,104 undi.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh yang bertanding di DUN Pengkalan Kundor juga gagal mempertahankan kerusi disandang apabila dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Mardhiyyah Johari.

Sementara Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew turut gagal mempertahankan kerusi DUN Derga yang dimenangi muka baharu dari Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Muhammad Amri Wahab.

Turut gagal mempertahankan kerusi disandang termasuk bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah, Datuk Zamri Yusof di DUN Suka Menanti.

Keputusan PRN ini menjadi tamparan hebat kepada kepimpinan PH-BN yang sebahagian besar tewas kepada calon muka baharu yang diketengahkan PN.

PN tampil menang bergaya dengan menguasai 33 kerusi daripada keseluruhan 36 DUN di Kedah. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp