TERKINI

PRN: Penamaan calon 29 Julai Hari Mengundi 12 Ogos – SPR

Gambar hiasan – foto berita harian

PUTRAJAYA, 6 Julai 2023 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata seramai lebih 9.73 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April 2023, yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023, ujarnya.

“Sehubungan itu SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi dewan berikut: 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 kerusi DUN Kelantan, 32 kerusi DUN Terengganu, 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 56 kerusi DUN Selangor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

“Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:
“Tarikh keluar writ pada 5 Julai; hari penamaan calon 29 Julai (Sabtu); hari mengundi awal 8 Ogos (Selasa) dan hari mengundi pada 12 Ogos (Sabtu),” katanya dalam sidang akhbar PRN di Menara SPR, di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRN selepas suruhjaya itu penerimaan notis pembubaran rasmi DUN keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.

Menurut Abdul Ghani, daripada jumlah keseluruhan pengundi, seramai 9,674,456 orang adalah pengundi biasa; 49,660 (tentera serta pasangan); 47,728 (polis serta pasangan, Polis Pasukan Gerakan AM (PGA)); serta 1,727 orang pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Dalam pada itu, beliau berkata tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai, sehingga 11.59 malam, 11 Ogos 2023 (JUmaat).

Abdul Ghani menambah, kos bagi melaksanakan PRN di keenam-enam negeri terbabit dianggarkan sebanyak RM420 juta.

“Sebanyak 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 186 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

“Seramai 153,760 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN ke-15. Manakala, sebanyak 3,190 buah pusat mengundi biasa akan digunakan.

“Ia mengandungi 17,048 tempat mengundi/saluran dan 260 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 377 tempat mengundi/saluran awal.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah 3,450 buah dengan 17,425 tempat mengundi/saluran,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Selangor membubarkan DUN secara rasmi pada 23 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.

Sementara, Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing pada 28 Jun; sementara Negeri Sembilan pada 1 Julai.

Sebanyak 245 kerusi DUN melibatkan enam negeri akan dipertandingkan pada PRN kali ini. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp