
KUALA LUMPUR, 21 Sept – Bahasa Melayu mesti terus diperkukuh sebagai bahasa perpaduan nasional, selaras kedudukannya sebagai bahasa negara yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, tegas Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Menurut beliau, cadangan untuk memperkukuh perpaduan melalui pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah boleh diterima, namun ia hanya sesuai dijadikan kaedah sampingan.
“Kaedah utama ialah penggunaan bahasa Melayu. Malangnya, pelaksanaan dasar ini sejak dahulu tidak berjaya dilaksanakan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Teo menjelaskan, gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan anak bangsa mula diangkat menerusi Penyata Pendidikan Razak 1956 sebelum dimaktubkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan seterusnya dipinda dalam Akta Pendidikan 1996. Namun, kegagalan melaksanakannya dengan konsisten menyumbang kepada polarisasi kaum di negara ini.
“Apabila kaedah utama itu dapat dilaksanakan dengan baik, ia tidak pun memerlukan kaedah sampingan. Melalui interaksi yang kerap dan intensif, hubungan etnik akan terjalin secara semula jadi dan berakar umbi,” ujarnya.
Beliau menekankan konsep nativisme, iaitu mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa tanah air, perlu menjadi asas dalam semua proses pembinaan negara dan bangsa. Sementara itu, pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil boleh dianggap sebagai imigresen – pelengkap kepada nativisme – tetapi tidak boleh sesekali menggantikan peranan dominan bahasa Melayu.
“Untuk tujuan perpaduan negara dan integrasi nasional, kita harus memastikan nativisme sebagai kaedah dominan, sekali-sekala boleh disokong oleh imigresen. Jangan pula keadaan sebaliknya berlaku,” katanya.
Teo menegaskan, misi utama negara ialah menjayakan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, manakala gagasan bahasa Mandarin dan Tamil hanya berperanan sebagai pelengkap. -malayadaily.com