TERKINI

Prof Teo Kok Seong disiasat – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution Ismail (kiri), Teo Kok Seong (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2024 – Satu kertas siasatan telah dibuka terhadap pensyarah dan Felo Majlis Profesor Negara Profesor Emeritus Datuk Teo Kok Seong susulan kenyataannya berkaitan sekolah vernakular baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan dibuka di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Topik mengenai kewujudan sekolah vernakular di negara kita memang tajuk yang sentiasa dibahaskan sudah berpuluh tahun. Ada pandangan pro, ada pandangan kontra, ada kelebihan dan ada kekurangan… kalau kita nak tengok.. satu kekuatan di sana, misalnya trend ketika ini ramai pelajar-pelajar Melayu memilih untuk belajar di sekolah vernakular.

“Itu pun satu fakta juga… ketika kritik terhadapnya (sekolah vernakular) ada, ada juga dalam jumlah yang besar memilih (untuk bersekolah di sekolah vernakular),” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Teo sebelum ini dikatakan mengeluarkan kenyataan menerusi satu rakaman video di TikTok yang mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina menyebarkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu.

Susulan itu Teresa Kok (DAP-Seputeh) ketika perbahasan menggesa pihak polis menyiasat Teo berhubung perkara itu selain mempersoalkan mengapa beliau tidak disiasat, dengan membandingkan siasatan polis terhadap pemimpin-pemimpin DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang dan Tony Pua. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp