TERKINI

Projek Proton Dicemuh Orang Jepun, Membakar Semangat Jurutera Tempatan

Abu Talib Abu – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 6 Julai 2023 – Dikritik dan dicemuh kononnya projek pembuatan kereta nasional tidak akan berjaya membuatkan kumpulan jurutera rakyat Malaysia dapat menjayakan Proton dalam tempoh dua tahun sekitar 1985.

Datuk Seri Abu Talib Abu, yang merupakan pereka eksekutif Proton waktu itu, berkata, sepanjang tempoh berkelana ke Jepun bagi mempelajari proses pembuatan kereta daripada Mitsubishi, warga negara matahari terbit itu merasakan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika adalah seorang yang gila.

“Sebenarnya sepanjang proses itu kami dicemuh orang Jepun. Mereka kata perdana menteri kami gila kerana dalam masa dua tahun nak buat kereta.

“Mereka kata dalam tempoh dua tahun kami tak nampak kamu akan berjaya, jadi kami ambil cabaran itu dan kami tekad mengatakan kita boleh buat kereta, misi kami merealisasikan kereta buatan Malaysia dibuat anak tempatan,” katanya.

Abu Talib 3 dari kanan – foto album Abu Talib

Kata-kata itu katanya menjadi pembakar semangat buat sekumpulan jurutera muda negara yang dihantar untuk misi negara.

“Apabila perdana menteri nak ubah jadi negara industri tugas kami rumit. Kita tiada pengalaman. Graduan teknikal yang dihantar tak memiliki ilmu cukup, saya sebagai salah seorang kumpulan pertama yang dihantar tanpa ilmu yang banyak. Bila lihat kilang Mitsubishi, ini kami rasa tanggungjawab besar.

“Rasa nak putus asa pun ada takut impian tidak tercapai, tetapi Tun lihat ini satu perjuangan.

“Sebagai perdana menteri, beliau kata beliau hanya merancang dan meluluskan, tetapi pelaksanaan itu kami. Negara kita perlu maju kerana datang dari kegelapan. Kita mahu keluar dari kegelapan. Motivasi itu buatkan semangat kami membara,” katanya, dalam wawancara bersama Malaya Daily, baru-baru ini.

Katanya, impian untuk memiliki kereta nasional adalah visi jangka panjang Mahathir untuk membangunkan ekonomi negara yang berlatarbelakangkan pertanian untuk beralih kepada sektor perindustrian dan pembuatan.

Ini kerana, sektor pembangunan automotif mempunyai segala keperluan untuk negara mencapai taraf negara industri.

“Kenapa buat kereta mampu jadi pemangkin kerana industri automotif ada teknologi yang berbagai seperti elektronik, elektrikal, kebanyakan teknologi pembuatan ada dalam automotif.

Foto album Abu Talib

“Bila kita berjaya takluki ilmu pembuatan kita memiliki teknologi ini. Ia menjadi satu anjakan yang menggerakkan industri negara,” katanya, yang merupakan antara tujuh jurutera pembuatan terawal di dalam negara.

Namun, cabaran di hadapan mereka waktu itu tidak mudah.

“Cabaran terbesar kami bahasa. Orang Jepun tak pandai bahasa inggeris. Pembelajaran dia ajar bahasa ibunda. Kebanyakan pergi graduan habis belajar di Amerika Syarikat, United Kingdom, ada dari UTM. Mereka mempunyai masalah besar untuk berkomunikasi dengan orang Jepun.

“Kami juga kena belajar bahasa Jepun. Cabaran lain Jepun macam Malaysia ada wilayah dan dialek, kami sampai di selatan. Dialeknya berbeza daripada bahasa Jepun standards yang kami belajar. Cabaran sangat mencabar.

“Sebab semangat yang telah disuntik perdana menteri buat kami abaikan, kami ada jatidiri kuat sebagai Melayu membuktikan kita mampu buat kereta sendiri,” katanya.

Dalam fikiran mereka waktu itu, gagal bukan satu pilihan kerana ia melibatkan maruah Malaysia.

“Kami dirikan Proton dengan keringat, air mata dan darah kerana ini misi negara. Kalau kami gagal negara ini akan gagal. Walaupun waktu itu kurang faham tapi kita patuh. Mungkin sebab kami graduan baharu, apa sahaja arahan kami ikut sahaja,” katanya.

Malayadaily telah menyiarkan rakaman wawancara bersama Datuk Seri Abu Talib Abu untuk berkongsi kisah dan pengalaman beliau sepanjang beliau mencurah bakti bersama Proton. Rakaman ini sebanyak 6 episod dan telah disiarkan di rangkaian youtube MalayaDailyOfficial. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp